mcmc
Maklumat Setempat

INFO HULU SELANGOR

IMG 2170

Daerah Hulu Selangor (dahulu dieja Ulu Selangor) merupakan salah sebuah daerah yang terletak di utara Negeri Selangor. Dari sudut geografi, Daerah Hulu Selangor terletak di utara Lembah Klang dengan keluasan 174,047 hektar. Jumlah penduduknya lebih kurang 178,500 orang (2005) atau 3.7 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Negeri Selangor, dan kini semakin meningkat sejajar dengan pembangunan semasa.

Daerah Hulu Selangor juga merupakan daerah yang terbesar daripada sembilan buah daerah di Negeri Selangor. Ia bersempadan dengan Negeri Perak di utara dan Negeri Pahang di sebelah timur. Daerah yang pada suatu ketika dahulu dikenali sebagai “The Sleeping Hollow” serta terletak di kawasan terpinggir dari limpahan kemajuan negara, kini telah mengorak langkah dengan menggiatkan pembangunan dan kemajuan di semua bidang selaras dengan visi Negeri Selangor ke arah “Negeri Idaman, Maju dan Sejahtera”.

Daerah ini mempunyai 13 buah mukim iaitu:

 Bil

Mukim

Keluasan(Hektar)

Keluasan(Ekar)

 1

 Hulu Bernam (Utara  dan Selatan)

44,680

11,0405

 2

 Kalumpang

4,144

10,240

 3

 Kuala Kalumpang

3,885

9,599

 4

 Sungai Gumut

4,144

10,240

 5

 Sungai Tinggi

16,006

39,550

 6

 Kerling

17,534

43,326

 7

 Ampang Pecah

4,143

10,237

 8

 Buloh Telur

2,589

6,397

 9

 Pertak

20,383

50,366

 10

 Rasa

8,262

20,416

 11

 Batang Kali

16,265

40,191

 12

 Hulu Yam

11,111

27,456

 13

 Serendah

12,901

51,647

 

Jumlah

174,047

430,070

 

Sumber : Pejabat Daerah & Tanah Hulu Selangor, 2007

13 Mukim ini boleh diakses melalui beberapa jalan utama iaitu:

  1. Jalan Persekutuan dari Rawang (Selatan).
  2. Jalan Persekutuan dari Tanjung Malim (Utara).
  3. Lebuh raya Utara – Selatan PLUS, susur keluar Bukit Beruntung, Bukit Tagar, Lembah Beringin dan Tanjung Malim.
  4. Jalan Sungai Tua, Batu Caves – Hulu Yam Bharu.
  5. Jalan Genting Highlands (Gohtong Jaya) – Batang Kali.
  6. Jalan Bukit Fraser – Hulu Bernam.
  7. Jalan Sungai Besar – Hulu Bernam.
  8. Jalan Batang Berjuntai – Bukit Tagar.

 

Pada masa kini, Daerah Hulu Selangor mampu berbangga dengan wujudnya pelbagai projek mega seperti kawasan Otomobil Nasional Kedua atau Perodua, kawasan perindustrian, perumahan , pelancongan, bandar moden di Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa, Sungai Buaya, Serendah, Batang Kali dan Lembah Beringin di Kerling. Pembinaan interchange lebuh raya PLUS di Bukit Beruntung dan di Lembah Beringin menambahkan lagi kerancakan pembangunan kawasan ini.

Sungai Selangor dahulunya merupakan alat perhubungan utama yang menghubungkan Bukit Fraser bersempadanan dengan Negeri Pahang hingga ke Kuala Selangor dan sungai-sungai lain seperti Sungai Serendah, Sungai Batang Kali, Sungai Liam, Sumgai Inki, Sungai Kerling dan Sungai Bernam. Kawasan kaki Banjaran Titiwangsa ini kaya dengan bukit-bukau yang menghijau dan telah menarik tumpuan industri pelancongan serta penubuhan institusi pendidikan di daerah ini.

Selain rangkaian lebuh raya utara selatan PLUS dan jalan raya utama Persekutuan Kuala Lumpur ke Tanjung Malim, terdapat juga rangkaian jalan negeri seperti jalan Hulu Yam ke Sungai Tua, Batang Kali ke Genting Highlands, Sungai Tengi ke Batang Berjuntai dan Kuala Kubu Bharu ke Bukit Fraser. Semuanya merupakan pintu masuk ke Daerah Hulu Selangor yang menjadi pemangkin ke arah pembangunan yang lebih pesat lagi.

Daerah Hulu Selangor mula wujud semasa permulaan pemerintahan Inggeris di Kuala Kubu Bharu iaitu pada 12 Mei 1883, selepas sembilan tahun campur tangan British di Negeri Selangor. Pada zaman British, Pentadbiran Daerah Hulu Selangor dikenali sebagai “Collector and Magistrate of Ulu Selangor “ dan antara penjawatnya ialah Cecil Ranking dan Mac Carthy semasa Frank Sweettenham menjadi Residen British di Selangor.

Pada mulanya pentadbiran daerah terletak di Kuala Kubu ( lama ) yang kini dikenali dengan nama “Ampang Pecah “. Pemindahan ke tempat pentadbiran yang baru pada 1 September 1930 seperti yang terdapat pada masa kini adalah kerana kawasan bandar lama tersebut terletak di kawasan yang rendah dan sering berlaku kejadian banjir besar.

Sumber : Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia ( JUPEM )